BADAN PEMERINTAH (EKSEKUTIF)
Badan pemerintah atau eksekutif merupakan badan yang bertanggungjawab melaksanakan kuasa-kuasa eksekutif mengikut Perlembagaan dan undang-undang.
Mengikut Perkara 39, Perlembagaan Persekutuan, kuasa memerintah Persekutuan Malaysia adalah terletak pada Yang di-Pertuan Agong dan tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, kuasa ini boleh dijalankan oleh Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri. Tetapi Parlimen boleh dengan undang-undang memberi tugas-tugas pemerintah kepada orang lain. Timbalan Yang di-Pertuan Agong adalah Timbalan Ketua Utama Negara. Apabila berlaku kekosongan disebabkan Yang di-Pertuan Agong tidak berupaya menjalankan tugas kerana sakit, tidak berada dalam Persekutuan Malaysia lebih daripada 15 hari atau kerana sebab-sebab lain maka Timbalan Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab menjalankan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong.
Jemaah Menteri
Jemaah Menteri merupakan badan yang menjalankan kuasa eksekutif yang dipegang oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di bawah Perkara 43, Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik barisan Jemaah Menteri untuk menasihatkan baginda dalam hal ehwal menjalankan tugas-tugasnya. Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti berikut:
a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik seorang daripada ahli Dewan Rakyat yang pada pendapat baginda mendapat kepercayaan sebilangan besar daripada ahli-ahli Dewan itu sebagai Perdana Menteri untuk mengetuai Jemaah Menteri; dan
b) Atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Menteri-menteri lain dalam kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Majlis Raja-Raja
Majlis Raja-Raja mengandungi semua Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong. Tugas majlis ini seperti yang tercatat dalam Perkara 38, Perlembagaan Persekutuan adalah untuk:-
• Memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan mengikut peruntukan-peruntukan Jadual Ketiga, Perlembagaan Persekutuan;
• Mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama meliputi seluruh persekutuan;
• Mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang dan membuat atau memberi nasihat mengenai apa-apa pelantikan yang menurut Perlembagaan memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
No comments:
Post a Comment